MEMBINA TAMADDUN BERASASKAN ISLAM DI ABAD KE-21: PERANAN BANGSA MELAYU


Saya dilahirkan seorang Melayu dan Islam. Itu bukan pilihan saya. Itu adalah takdir Allah s.w.t. terhadap saya. Saya akan mati sebagai seorang Melayu.
Saya juga tiada pilihan mengenainya. Allah s.w.t. menghantar Rasul untuk menyeru manusia kepada Islam. Oleh sebab itu, walau pun saya ada pilihan dalam hal agama, saya mahu mati sebagai seorang Islam. Itu pilihan saya, dengan izin dan rahmat daripada Allah s.w.t.
Maka salahkah jika saya katakan “Saya Melayu dan Islam”?

Salahkah jika saya katakan “Saya akan bercakap sebagai seorang Melayu dan Islam”?

Dan salahkah jika kita sebagai satu bangsa dan satu ummah berkata “Kami mahu mempertahankan kedudukan dan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam di bumi Melayu dan Islam ini?”

Jika kita mahu bergerak ke hadapan kita kenalah memandang ke hadapan. Ianya semudah itu. Tetapi adakah ummat Islam berbuat demikian?

Kerapkali ummat Islam asyik memandang ke belakang, kepada apa yang dipanggil “zaman kegemilangan Islam”, kagum dan megah dengannya dan merindui untuk “kembali ke zaman kegemilangan” itu. Mereka melihat ke zaman itu sebagai seorang yang melihat bulan purnama di malam yang terang, tenang dan dingin. Yang nampak olehnya ialah keindahan bulan itu dari jauh. Dia tidak nampak permukaan bulan itu yang penuh dengan ketul- ketul batu dan kawah-kawah gunung merapi dan yang tidak pun boleh didiami oleh manusia. Tiada pula anak-anak sungai yang airnya dingin dan menyegarkan yang mengalir di bawah pohon-pohon rimbun seperti yang terdapat di hutan Belum, apatah lagi seperti yang digambarkan di dalam syurga.
Ummat Islam melihat “zaman kegemilangan Islam” itu sebagai satu zaman di mana kemajuan, peradaban, ilmu pengetahuan, pemerintahan, kedudukan sosial, ekonomi dan segala-galanya bagi umat Islam berada di kemuncak, semuanya baik dan warak, tiada dosa dan celanya. Apa yang dilakukan pada masa itu semuanya “Islamic” dan hendaklah dicontohi. Ulamak-ulamak di zaman itu mempunyai ilmu, kecerdikan, sifat-sifat adil dan warak yang tidak di miliki oleh ummat Islam di beberapa abad kebelakangan ini, sehingga ummat Islam di kebelakangan ini tidak layak untuk membuat keputusan hukum sendiri bagi menyelasaikan masalah yang kita hadapi hari ini. Saya dapati sukar untuk menerima jika dikatakan bahawa dalam beberapa abad terakhir ini Allah s.w.t. telah mentakdirkan bahawa ummat Islam menjadi kurang credik, kurang berilmu dan kurang warak.2
Mereka menyangka bahawa di “zaman kegemilangan itu” semuanya baik belaka dan “mengikut Islam”. Mereka lupa bahawa tiga daripada empat orang Khalifah Al-Rasyidin mati dibunuh, bahawa peperangan di antara sahabat telah berlaku dalam tempuh beberapa dekad selepas wafatnya Rasul Allah, bahawa sepanjang sejarah ummat Islam, hingga ke hari ini, saya percaya, lebih banyak peperangan berlaku sesama Islam daripada dengan orang bukan Islam. Jika Hajrul Aswad pernah di rampas dan dipindahkan ke Yaman selama lebih kurang dua dekad dan beribu-ribu Hadis palsu diciptakan, apa lagi yang hendak dikatakan?
Saya akui mengenai pencapaian ummat Islam dalam tempoh-pempoh tertentu dalam sejarah. Tidak perlulah saya menyenarainya. Tetapi, kita mesti faham bahawa pencapaian itu adalah pencapaian terbaik pada masa itu, sesuai dengan keadaan masa itu. Mengulangi perkara yang sama dengan cara yang sama pada hari ini, mungkin sudah tidak sesuai lagi dan mungkin akan membawa bencana. Kita boleh mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Kambodia selepas Khmer Rogue merampas kuasa dan di Afghanistan semasa Taliban berkuasa.
Sebenarnya, apabila ummat Islam merujuk kepada “zaman kegemilangan Islam”, mereka sendiri tidak jelas “zaman” mana yang dimaksudkan dan mereka sendiri tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku pada sesuatu period itu. Gambaran mereka adalah seolah-olah sepanjang “zaman kegemilngan” itu terdapat hanya satu tamaddun Islam yang perfect dan stereotype.
Hakikatnya tidak serupa dengan apa yang disangka.
Kita terima bahawa kerajaan yang diasaskan dan dipimpin oleh Rasul Allah s.a.w. adalah yang sebaik-baiknya kerana baginda adalah Rasul Allah. Tetapi, dalam perkara-perkata tertentu, ianya sesuatu yang terbaik pada, dan sesuai dengan, masa itu. Misalnya, pemerintahan Baginda berpusat di masjid. Bayangkan jika kita cuba masukkan semua kementeriaan, jabatan dan pejabat kerajaan di Putrajaya ke dalam Masjid Putra. Tentera adalah sekarelawan, masing-masing membawa senjata sendiri.
Tetapi, pedang bolehlah dibawa sendiri, bagaimana dengan kapal selam, kereta perisai, kapal terbang jet dan segala peralatan senjata di zaman ini?
Ambil undang-undang sebagai misalan. Memanglah undang-undang yang dilaksanakan oleh Rasul Allah adalah seperti yang dikehendaki oleh Islam kerana jika Baginda tidak melakukannya, siapa lagi? Tetapi, itu di peringkat awal dan undang-undang yang amat minima dan rudimentary yang diperlukan pada masa itu. Jika pada masa itu, atau pun semasa pemerintahan Ummar Ibn Khattab r.a., malah semasa pemerintahan Harun Al-Rasyid, ada kereta dan peraturan mengenai penggunaannya dibuat, besar kemungkinan, hari ini, ia akan dikenali sebagai undang-undang jalan raya Syari’ah. Jika had laju ditetapkan, mungkin hari ini ia akan dipanggil had laju Syari’ah atau had laju Islam.
Jika demikianlah halnya, apabila kita membuat undang-undang jalan raya, mengapa ia tidak boleh dikategorikan, sekurang-kurang, sebagai undang-undang yang patuh Syariah?
Pokok pangkalnya ialah sama ada ia bertentangan dengan prinsip-prinsip Syari’ah atau tidak, bukannya sesuatu yang baharu atau tidak. Ini menunjukkan bahawa suatu undang-undng yang tidak ada di zaman Rasul Allah tetapi perlu diadakan hari ini juga boleh, malah patut, dikategorikan sebagai “Islamic”, dengan syarat ia patuh Syari’ah.
Seterusnya, saya berpendpat, kita boleh mempunyai undang-undang yang berbeza daripada undang-undang yang ada di zaman Rasul Allah tetapi ia lebih “Islamic” atau lebeih menepati maqasid Syariah. Saya tahu kenyataan ini akan mengejutkan. Saya beri satu misalan: undang-undang mengenai perhambaan atau slavery. Baik di zaman Rasul Allah hinggalah ke zaman Empayar Othmaniah, perhambaan tidak diharamkan.
Hari ini semua negara, termasuk negara-negara yang diperintah oleh orang Islam, telah mengharamkannya mengikut undang-undang. Adakah pengharaman perhambaan itu betentangan dengan Syari’ah?
Jika sesebuah negara hendak menjadi sebuah “negara Islam”, perlukan kita reintroduce perhambaan semula?
Hakikatnya ialah kita telah lebih maju dan lebih menepati maqasid Syari’ah dalam hal itu. Dalam bidang sains perubatan, misalnya, Ibnu Sinna dan Al-Razi (kedua-duanya keturunan Parsi) telah membuat penemuan yang mengkagumkan.
Tetapi, hari ini, sains perubatan sudah jauh lebih maju hasil ciptaan ahli-ahli sains bukan Islam. Jika kita katakan bahawa ilmu yang ditemui oleh Ibnu Sinna dan Al-Razi itu “Islamic” dan yang temui oleh orang-orang bukan Islam itu tak “Islamic”, adakah kita hanya patut mengajar, belajar dan mengamal setakat apa yang ditemui oleh Ibnu Sinna dan Al-Razi sahaja?
Tentu sekali tidak.
Demikian juga dalam hal kenegaraan dan pentadbiran. Hasil dripada evolusi yang memakan masa beribu tahun, hampir setiap negara mempunyai Perlembagaan. Demikian juga Malaysia. Adakah itu bertentangan dengan Syari’ah?
Saya telah beberapa kali menceritakan peristiwa saya diwawancara oleh seorang calun PhD dari Universiti Instanbul. Beliau bertanya saya, “What is your definition of Islamic law”? Saya menjawab, “Any law that is not unislamic.” Setakat ini, pendekatan itu saya cuma tumpukan kepada penyesuaian undang-undang. Sebenarnya, ia boleh dipakai dalam semua bidang:
What is not unislamic is Islamic.

Jika kita gunakan pendekatan itu, kita akan dapati bahawa sebenarnya, boleh dikatakan dalam kesemua hal, kita telah pun melakukan apa yang “Islamic”. Sebenarnya bangsa Melayu khususnya di Malaysia, telah pun, tanpa disedari menjadi pelopor dalam membangunkan tamaddun berasaskan Islam di abad ini. Lihat sistem pentadbiran kita, kehakiman kita, badan perundangan kita, institusi-institusi pelajaran kita, ketenteraman yang kita nekmati, bagaimana Kerajaan menjaga kesejahteraan rakyat, undang-undang yang saya percaya, lebih daripada 90% mematuhi Syari’ah.
Kita adalah pelopor utama perbankan dan kewangan Islam dan takaful dan kita sedang berusaha untuk mengketengahkan mu’amalat Islam, sekurang-kurangnya untuk perbankan dan kewangan Islam dan takaful, satu perkara yang tidak dilakukan oleh mana-mana negara lain.
Saya memohon maaf kepada saudara-saudara kita yang berbangsa Arab, kerana saya hendak menegur mereka sedikit. Al-Qur’an pun menyuruh kita ingat mengingati sesama Islam. Selama ini bangsa Melayu memandang kepada bangsa Arab sebagai pemimpin Islam di dunia. Tetapi, di abad dua puluh dan dua puluh satu ini sudah jelas kelihatan bahawa mereka tidak berupaya menjadi pemimpin ummat Islam walau pun Allah s.w.t. telah memberikan lima perkara kepada mereka:
1. Rasul yang terakhir daripada bangsa mereka; 2. Al-Qur’an dalam bahasa mereka; 3. Ka’abah di negara mereka; 4. Yahudi sebagai musuh untuk menyatukan mereka; dan 5. Petroleum untuk membina ekonomi mereka.

Malangnya mereka tidak manfaatkannya. Negara-negara lain yang penduduk Islamnya lebih ramai pun, sama ada tidak berminat atau tidak menunjukkan kemampuan melakukannya. Sebaliknya, Malaysia, khususnya orang Melayu, tanpa mendabek dada, senyap-senyap, malah mungkin tanpa di sedari, telah pun mempelopori pembinaan satu tamaddun yang berasaskan Islam yang sesuai dengan zaman ini dan selaras dengan prinsip-prinsip Syari’ah. Saya akui ianya tidak perfect. Tetapi, kita masih dalam proses pembinaan. Pembetulan dan penambahbaikkan masih boleh dilakukan. Tunjukkan kepada saya satu period dalam sejarah ummat Islam yang perfect, selain daripada di zaman Rasul Allah, kerana bukanlah untuk kita mempersoalkan kemimpinan Baginda.
Maka, pada pandangan saya, bangsa Melayu boleh mengambil alih peranan membina satu tamaddun berasaskan Islam di abad ini. Tetapi, bangsa Melayu sendiri mestilah terlebih dahulu bersatu. Kerajaan pimpinan Melayu mestilah teguh untuk melaksanakan program-program yang perlu untuk merealisasi misi tersebut. Bangsa Melayu mestilah menumpukan fikiran, usaha dan tenaga kapada misi itu, bukan bersengketa sesama sendiri kerana kepentingan diri atau parti yang immediate. Bangsa Melayu mestilah memandang ke kahadapan, melakukan apa yang perlu dan dengan cara yang sesuai degan zaman ini sambil mengikuti prinsip-prinsip yang letakkan oleh Islam. Terserahlah kepada bangsa Melayu sama ada hendak memanfaatkan peluang yang diberi oleh Allah s.w.t. kepadanya atau mensesiakannya. Harapan saya ialah, janganlah Bangsa Melayu juga akan manjadi satu bangsa yang terlepas peluang. Sekian. Terima kasih. Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad (Mantan Ketua Hakim Negara) 25 Mac 2013

Ulasan