Operasi Bawa Keluar Pelajar Dari Mesir Diteruskan Isnin

JEDDAH, 6 Feb (Bernama) -- Operasi membawa keluar rakyat Malaysia terutama para pelajar dari Mesir ke Jeddah akan diteruskan sehingga Isnin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata walaupun operasi itu mungkin boleh ditamatkan hari ini, ia masih dilanjutkan kerana mungkin ada saki baki pelajar-pelajar yang berubah fikiran di saat-saat akhir untuk pulang ke tanah air.

"Sehingga pukul 9 pagi ini, pusat transit haji Lembaga Tabung Haji Madinatul Hujjaj di sini menerima ketibaan 3,645 pelajar," katanya dalam satu persidangan media di sini.

Katanya pihak Tabung Haji yang mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan jemaah haji Malaysia, bertindak cemerlang dalam mengendalikan kehadiran para pelajar yang dibawa keluar dari Mesir, dari segi keperluan penginapan dan juga makanan di Pusat Transit Haji, Madinatul Hujjaj itu.

Sementara itu merujuk kepada keengganan sesetengah pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir pulang, Jamil berkata kebanyakan mereka terdiri daripada para pelajar tahun akhir dan kalangan mereka yang bekerja di Mesir.

Katanya walaupun mereka membuat keputusan tidak pulang ke Malaysia, mereka tetap menghulur bantuan secara sukarela untuk membantu petugas-petugas kerajaan dan rakan-rakan mereka di sana untuk dipindahkan ke Jeddah.

Beliau berkata selain itu terdapat kira-kira 50 pelajar Malaysia dari Jordan yang terperangkap di Mesir yang sudah dibawa ke Jeddah dan mereka mula dihantar pulang ke Jordan pada Ahad.

Sementara itu Jamil Khir berkata hasil perbincangan dengan petugas-petugas di Kaherah, pesawat-pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama pesawat AirAsia kini ditetapkan untuk terbang dari Iskandariah ke Jeddah, manakala pesawat Malaysia Airlines akan membawa keluar para pelajar dari Kaherah.

Sebelum ini hanya satu pesawat Hercules C-130 digunakan bagi mengangkut keluar para pelajar dari Iskandariah ke Jeddah manakala dua lagi bersama-sama pesawat Malaysia Airlines dan AirAsia membawa pelajar keluar dari Kaherah ke Jeddah.

Jamil Khir seterusnya menasihatkan rakyat Malaysia khususnya para pelajar di kawasan bergolak itu supaya mengambil peluang daripada operasi yang sedang dilaksanakan, untuk keluar daripada negara tersebut.

Menceritakan pengalamannya di Kaherah baru-baru ini, katanya beliau sendiri terpaksa melalui lebih daripada 10 sekatan jalan raya bukan sahaja yang diadakan oleh pihak berkuasa di Mesir tetapi juga orang-orang awam yang bersenjatakan pedang, parang dan tombak.

"Lagipun keselamatan para pelajar mungkin terjejas dan tiada jaminan keselamatan jika mereka lewat balik ke rumah daripada kuliah semasa perintah berkurung di kuatkuasakan," katanya.

Selain itu menurutnya harga barang makanan juga dijangka terus meningkat kerana bekalan semakin berkurangan.
-- BERNAMA

Ulasan