Indonesia Minta Anggota Negara Asean Bantu Lindungi Rakyat Di Mesir

Sumber berita: Bernama
03 Februari, 2011 22:54 PM
Oleh Ahmad Fuad Yahya
JAKARTA, 3 Feb (Bernama) -- Indonesia meminta negara anggota ASEAN supaya saling memberi kemudahan dan bantuan dalam melindungi keselamatan rakyat serantau itu yang terperangkap dalam pergolakan di Mesir.

Menteri Luarnya Marty Natalegawa berkata semua negara anggota ASEAN perlu mengadakan koordinasi dalam memantau keadaan di Mesir serta mengambil tindakan memindahkan rakyat masing-masing dari negara itu.

Indonesia merupakan Pengerusi ASEAN.

"Indonesia dengan Thailand dan Malaysia saling bekerjasama dalam mengatasi masalah seperti itu berlandaskan perjanjian 2006 di mana semua negara anggota komited untuk saling membantu dalam situasi darurat," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Katanya sejak dua hari lalu beliau telah berkomunikasi dengan Kementerian Luar Malaysia dan Thailand yang mempunyai pejabat perwakilan mereka di Mesir bagi mendapatkan maklumat mengenai langkah-langkah penting bagi melindungi warga negara mereka di sana.

"Kami yakin, negara ASEAN yang lain juga saling memahami untuk membantu mengikut kemampuan masing-masing. Perlu ada perpaduan," katanya.

-- BERNAMA

Ulasan