Bandaraya Kuala Lumpur Mesra Pejalan Kaki

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Jejantas sepanjang 12 kilometer yang menghubungkan jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dengan stesen pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), komuter dan monorel dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Mengumumkan demikian Isnin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata jejantas itu kini dalam fasa kedua pembinaan.

Projek itu, yang dibiayai bersama oleh Petronas dengan sumbangan RM100 juta meliputi laluan sepanjang enam kilometer manakala bakinya dibiayai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat-syarikat swasta.

"Antara jalan yang dihubungkan melalui jejantas ini ialah Jalan Kia Peng ke Jalan Raja Chulan seterusnya ke Jalan Bukit Bintang terus ke Jalan Imbi.


"Selain itu jalan yang turut dihubungkan ialah Jalan Perak ke Jalan Sultan Ismail ke Monorel Bukit Nanas serta dari LRT Ampang Park ke Masjid Assyakirin (di KLCC),"

katanya kepada pemberita selepas merasmikan jejantas pejalan kaki antara Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ke Hotel Impiana KLCC sepanjang 142 meter.
Turut hadir Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Holdings Sdn Bhd Hashim Wahir.

Sementara itu, Hashim berkata sebanyak RM10 juta telah digunakan bagi menyiapkan pembinaan fasa pertama jejantas yang menghubungkan KLCC dengan Hotel Impiana itu.

Jejantas itu, yang dibuka kepada orang ramai hari ini, adalah tertutup dengan lapisan cermin dan dilengkapi sistem penghawa dingin dan eskalator bagi kemudahan orang kurang upaya (OKU).

Terdahulu, Ahmad Fuad menandatangani dan menerima dokumen bagi projek penyelengaraan fasa satu itu daripada KLCC Holdings.

-- BERNAMA

Ulasan