Penjelasan isu tuntutan hasil petroleum kerajaan negeri Kelantan


Penjelasan isu tuntutan hasil petroleum kerajaan negeri Kelantan

Semua negeri termasuk Kelantan bertaraf sama di sisi Akta Kemajuan Petroleum 1974. Semua Negeri yang mendatangani perjanjian dengan Petronas pada tahun 1975/76 akan mendapat bayaran tunai sebanyak 5% daripada nilai petroleum yang dijumapai dalam negeri berkenaan.

Apakah istilah yang disebut dalam Akta kemajuan Petroleum 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas?

Istilah yang diguna pakai bagi maksud pembayaran tersebut adalah "bayaran tunai" sebanyak 5% dan perkataan "royalti" tidak digunakan dalam mana-mana istilah Akta berkenaan.
Apakah kelayakan kerajaan-kerajaan negeri untuk mendapatkan bayaran tunai 5% seperti yang disebut dalam perjanjian antara Petronas dan kerajaan Negeri tahun 1975/1976?

Telaga minyak atau gas mesti berada dalam sempadan negeri iaitu bumi negeri berkenaan serta perairan wilayah negeri iaitu sejauh 3 batu nautika yang diukur dari paras air surut (ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No.7 Tahun 1969).
Adakah Kerajaan Negeri Kelantan atau mana-mana kerajaan negeri di Semanjung berhak menuntut bayaran tunai hasil minyak dari Petronas?

Negeri Kelantan atau mana-mana kerajaan negeri di Semanjung tidak berhak kerana semua telaga minyak dan gas ynag mengeluarkan hasil di semenanjung pada masa ini berada di luar perairan wilyah negeri melebihi 3 batu nautika. Oleh yang demikian apa-apa hasil ynag diperolehi di luar perairan negeri melebihi 3 batu nautika adalah hak milik Kerajaan Persekutuan.

Apakah kedudukan Sabah dan Sarawak dalam isu pembayaran royalti?

Sebelum tahun 1974, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak teleh sedia mempunyai kedudukan tersendiri terhadap hak royalti melalui kuatkuasa perjanjian serta kuatkuasa Akta Pelantar Benua 1966. Ia merupakan sejarah dan hak istemewa yang diiktiraf semasa menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Apakah yang dimaksudkan dengan bayaran Wang Ehsan?

Wang Ehsan adalah sumbangan atau bantuan yang disalurkan berasaskan budi bicara Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri termasuk Kelantan. Sumbangan ini adalah di luar skop/bidang kuasa Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan negeri pada tahun 1975/76. Bantuan ini diberikan adalah semata-mata atas kesedaran dan tanggungjawab berasaskan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap kebajikan negeri dan rakyat.
Mengapakah Wang Ehsan yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan hanya berjumlah kira-kira RM20 juta?

Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan ini atas dasar ehsan berhubung dengan gas yang dihasilkan di kawasan perairan Persekutuan. Kerajaan negeri kelantan tiada hak dalam kawasan itu kerana ianya di luar perairan 3 batu nautika.
Apakah kedudukan kenyataan dari bekas Pengerusi Petronas, YB Tengku Razaleigh Hamzah bahawa royalti patut dibayar kepada negeri Kelantan dari hasil petroleum yang diperolehi dari luar perairan negeri tersebut serta mempertikaikan pemberian Wang Ehsan.

Kenyataan YB Tengku Razaleigh Hamzah, ahli parlimen Gua Musang perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata. Sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

YB Tengku Razaleigh Hamzah pernah menjelaskan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedududkan Wang Ehsan kerana wang disalurkan selama ini walaupun atas nama royaliti minyak, bukanlah hak negeri.

Beliau juga menyatakan semasa Petronas ditubuhkan telah dinyatakan bahawa tiada sebuah negeri pun di Semenanjung berhak ke atas hasil minyak yang dijumpai di kawasan yang berada di luar "wilayah" mereka (Bernama - 1November, 2000).

Walaupun YB Tengku Razaleigh Hamzah telah mengubah pendiriannya pada masa ini, kedudukan undang-undang masih tidak berubah. Rakyat dan negara wajib menghormati undang-undang negara.

Apakah Ketua Pembangkang maklum tentang kedudukan hak kerajaan-kerajaan negeri dalam hal ini?

Berdasarkan kedudukan peruntukan perundangan yang sedia ada, Ketua Pembangkang sedar kerajaan negeri tidak ada hak terhadap apa-apa bayaran tunai atau royaliti berkaitan hasil petroleum yang diterokai di luar perairan wilayah negeri. Oleh keran itu, Ketua Pembangkang pernah cuba mengusulkan cadangan pindaan Akta kemajuan Petroleum 1974 di Parlimen pada Disember 2009 yang lalu.
Dengan itu Ketua Pembangkang sendiri menyedari bahawa kerajaan negeri Kelantan tiada hak atas mana-mana telaga minyak atau gas yang berada dalam kawasan Persekutuan.


Bagaimanakah isu tuntutan hasil petroleum Kerajaan Negeri Kelantan ini timbul?

Pada 9 Mei 1975, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohamad Nasir dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah telah menandatangani satu Surat cara Peletakhakkan (Vesting Deed/Instrument) yang dibuat menurut peruntukkan subseksyen 2(2) Akta Kemajuan Petroleum 1974(Akta 144).

— Menerusi surat cara berkenaan, Kerajaan Negeri Kelantan telah meletak hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan yang tidak boleh batal (irrevocable) kepada Petronas berhubung eksplorasi (pencarian), eksploitasi, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai (onshore) atau di luar pantai (offshore) Malaysia.

— Sebagai balasan kepada peletakhakan, kuasa, kebebasan dan keistimewaan yang tidak boleh batal (irrevocable) kepada Petronas itu, pada tarikh yang sama, kedua-dua pihak telah menandatangani satu perjanjian (Perjanjian 1975) mengenai pembayaran sebagaimana yang disyaratkan di bawah Seksyen 4 Akta 144.

Perjanjian

— Perjanjian ini menyatakan Petronas hendaklah membuat bayaran tahunan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dalam bentuk wang tunai yang setara dengan 5% dari nilai petroleum yang didapati dan diperolehi di Negeri Kelantan.

Tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan

— Walaupun hasil petroleum didapati dan diperoleh di luar pantai (offshore) Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan berpendapat bahawa ia layak menuntut dan mendapat pembayaran 5% sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian 1975.

— Tuntutan yang dibuat adalah seperti yang berikut:
i) RM 2 billion bagi keluaran di kawasan tuntutan bertindih Malaysia- Thailand

ii)RM 9.7 billion bagi kawasan di sempadan perairan Negeri Kelantan dan Negeri Terengganu

Apakah kelayakan Negeri Kelantan untuk mendapatkan bayaran tunai 5%seperti yang disebut dalam Perjanjian 1975?

Terlebih dahulu perlu difahami kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berhubung sempadan negeri dan negara dalam konteks negara persekutuan seperti Malaysia dan hak mencari gali petroleum menerusi undang-undang tempatan dan antarabangsa.

Undang-Undang tempatan dan antarabangsa yang terlibat adalah:-


a) Kanun Tanah Negara 1965

b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu No.7/1967)

c) Akta Pelantar Benua 1966 [Akta 83]

d) Akta Perlombongan Petroleum 1966 [Akta 95]

e) Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144]

f) Akta Zon Eksklusif Ekonomi 1984[Akta 311]

g) Perlembagaan Persekutuan

h) United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS)1982

i) Convention on the Territorial Sea and Contiguous Zone 1958

j) Convention on the Continental Shelf 1958


Sungguhpun Seksyen 5 Kanun Tanah Negara 1965 (KTN) mendefinisikan “tanah negeri” sebagai semua tanah di dalam negeri sama ada daratan atau dasar laut berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri tetapi terbatas setakat sempadan daratan dan perairan wilayahnya sendiri sahaja. KTN mengguna pakai definisi “perairan wilayah (territorial waters)” yang sama sebagaimana didefinisikan oleh Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu No.7/1967).

(Rujukan):

— Definisi “Tanah” :

"Land" includes-

(a) that surface of the earth and all substances forming that surface ;

(b) the earth below the surface and all substances therein;

(c) all vegetation and other natural products, whether or not requiring the periodical application of labour to their production, and whether on or below the surface;

(d) all things attached to the earth or permanently fastened to anything attached to the earth, whether on or below the surface; and

(e) land covered by water.

Definisi “Tanah Negeri”:

"state land” means all land in the State (including so much of the bed of any river, and of the foreshore and the bed of the sea, as is within the territories of the State or the limits of territorial waters) other than –

(a) alienated land;

(b) reserved land;

(c) mining land;

(d) any land which, under the provisions of any law relating to forests (whether passed before or after the commencement of this Act) is for the time being reserved forest

Definisi “Perairan Wilayah (territorial waters)”:

"territorial waters" has the meaning assigned to it in subsection 4(2) of the Emergency (Essent ial Powers) Ordinance, No.7/1969

[P.U.(A) 307A/69].

Dalam konteks perairan wilayah, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu No.7/1967) dengan jelas menyatakan ukuran sempadan untuk negeri iaitu tidak lebih daripada 3 batu nautika yang diukur daripada “tikas air surut (low water marks)” [di bawah kuasa Kerajaan Negeri] dan ukuran sempadan untuk negara adalah 12 batu nautika yang diukur daripada “garis pangkal (baselines)” [di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan].

(Rujukan):

Definisi “Perairan Wilayah (territorial waters)” di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu No.7/1967)


Untuk Negara:

Subseksyen 3(1)

Kelebaran perairan wilayah Malaysia hendaklah dua belas batu nautika dan kelebaran hendaklah kecuali di Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut Celebes diukur menurut Artikel-Artikel 3 , 4 , 6 , 7 , 8 ,9 , 10 , 11 , 12 dan 13 Geneva Conventionon the Territorial on the Territorial Sea and Contiguous Zon e ( 1958 ) , yang Artikel -Artikel tersebut sepertimana yang dinyatakan dalam Jadual .

[P.U.(A) 468/1969]

Untuk Negeri:

Subseksyen 4(2)

Bagi maksud Akta Pelantar Benua 1966 [Akta 83], Akta Perlombongan Petroleum 1966 [Akta 95], KanunTanah Negara 1965 dan mana-mana undang-undang bertulis mengenai tanah yang berkuatkuasa di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan mengenai perairan wilayah yang terdapat di dalamnya hendaklah ditafsirkan sebagai suatu sebutan mengenai bahagian laut bersempadan dengan pantai negeri tersebut tidak lebih daripada tiga batu nautika yang diukur daripada tikas air surut.

[P.U.(A) 468/1969]

Ukuran-ukuran bagi sempadan perairan wilayah ini diterima pakai oleh negara menerusi“Convention On The Territorial Sea And Contiguous Zone 1958” dan “Convention On The Continental Shelf 1958” yang kemudiannya di atasi oleh “United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982”



(Rujukan):

Article 3 UNCLOS 1982

Breadth of the territorial sea

Every State has the right to establish the breadth of its territorial sea up to a limit not exceeding 12 nautical miles, measured from baselines determined in accordance with this Convention.

Sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, UNCLOS 1982 dan Akta Pelantar Benua 1966 [Akta 83], semua hak eksplorasi dan eksploitasi sumber asli (termasuk petroleum) di pelantar benua (continental shelf) adalah terletak hak kepada Kerajaan Persekutuan dan bukannya Kerajaan Negeri. Tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan Kerajaan Persekutuan ada menyerah hak eksplorasi dan eksploitasi sumber asli di pelantar benua kepada mana-mana Kerajaan Negeri sama ada menerusi mana-mana undang-undang atau perjanjian. Hak tersebut sentiasa berada di tangan Kerajaan Persekutuan dari dahulu sampai sekarang.

Kerajaan Persekutuan hanya menyerah hak eksplorasi dan eksploitasi sumber asli di pelantar benua kepada Petronas menerusi Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] di mana Petronas telah diberi kuasa sepenuhnya untuk menjalankan kerja-kerja berkenaan eksplorasi dan eksploitasi petroleum di pelantar benua yang berada di dalam kedaulatan wilayah Malaysia.

Begitu juga dengan Kerajaan Negeri Kelantan telah menyerahkan sepenuh haknya (tanpa boleh batal (irrevocable) kepada Petronas untuk menjalankan kerja-kerja berkenaan eksplorasi dan eksploitasi petroleum sama ada di daratan atau laut dalam kawasan perairan wilayahnya menerusi Suratcara Peletakhakkan yang dibuat menurut peruntukan subseksyen 2(2) Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) pada 9 Mei 1975.

Dalam isu tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan ini, keterangan menunjukkan bahawa kedudukan medan/telaga minyak yang terlibat iaitu PM301 dan PM302 berada di kawasan yang melebihi dari 100 batu nautika dari tikas air surut Negeri Kelantan.

Oleh itu, adalah jelas bahawa Negeri Kelantan tidak layak mendapatkan bayaran tunai di bawah Perjanjian 1975 bagi mana-mana medan atau telaga minyak yang dijumpai oleh Petronas yang tidak berada dalam sempadan tanah negeri atau perairan wilayahnya sendiri iaitu tidak melebihi 3 batu nautika yang diukur dari tikas (paras) air surut.

Apakah istilah yang disebut dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas?

Istilah yang diguna pakai bagi maksud pembayaran tersebut adalah “bayaran tunai” dan tiada di mana bahagian sama ada di dalam Akta 144 atau Perjanjian 1975 mendefinisikan atau merujuk perkataan ‘bayaran tunai’ sebagai ‘royalti’.

Adakah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1969 akan terhapus apabila Akta Kemajuan Petroleum 1974 dikuatkuasakan?

Tidak. Akta Kemajuan Petroleum 1974 adalah berkenaan pemberian seluruh hak pemunyaan eksklusif di atas petroleum dan hak, kuasa dan keistimewaan eksklusif untuk mencarigali, mengeksploit dan memperoleh petroleum sama ada di dalam (onshore) atau di luar pantai (offshore) Malaysia kepada PETRONAS.

— Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1969 terutama sekali Ordinan No.7 dan No.11, 1969 masih terpakai kerana ia memperuntukkan kedudukan had perairan wilayah negeri. Peruntukan ini amat penting dalam konteks mengenai hak negeri-negeri di perairan Malaysia.

Kenapa kedudukan Sabah dan Sarawak berbeza dengan negeri-negeri Semenanjung dalam isu pembayaran royalti?

Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah sedia mempunyai kedudukan tersendiri terhadap hak royalti melalui kuatkuasa perjanjian serta perundangan-perundangan yang memberi hak ke atas kawasan pelantar benua.

Hak kedua-dua negeri ke atas kawasan pelantar benua termaktub di dalam “North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954” dan “Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954]”.

Ia merupakan sejarah dan hak istimewa yang diiktiraf semasa menyertai Malaysia pada tahun 1963.

Sebagaimana yang termaktub Di dalam Perlembagaan Persekutuan, perkiraan bayaran kepada Sabah dan Sarawak mengambil kira duti import, duti eksais, duti eksport petroleum kepada Sabah dan Sarawak serta hasil perlombongan galian semulajadi.

Ini adalah jaminan kelayakan yang diterima oleh Negeri Sabah dan Sarawak, yang tidak ada di negeri-negeri Semenanjung.

Mengapakah Kerajaan Persekutuan menawarkan Wang Ehsan kepada Negeri Kelantan hanya berjumlah kira-kira RM20 juta dan bagaimanakah ia disalurkan?

Kerajaan Persekutuan menawarkan jumlah tersebut atas dasar ihsan dan budi bicara bagi tujuan membantu rakyat negeri Kelantan walaupun petroleum yang dihasilkan dari telaga gas PM301 itu berada di luar perairan wilayah Negeri Kelantan.

Wang ihsan berkenaan akan disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (JPP) dalam bentuk projek pembangunan dan program pembasmian kemiskinan yang akan dilaksanakan secara telus oleh Kerajaan Persekutuan.

Apakah kenyataan YB Tengku Razaleigh Hamzah (bekas Pengerusi Petronas) bahawa royalti patut dibayar kepada negeri Kelantan dari hasil petroleum yang diperolehi dari luar perairan negeri tersebut serta mempertikaikan pemberian Wang Ehsan adalah berasas?

Kenyataan ini tidak berasas sama sekali dan menyimpang dari lunas fakta dan undang-undang serta mengelirukan. Sepatutnya, YB menerangkan fakta sebenar bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai hak mutlak ke atas hasil petroleum yang diperoleh di luar kawasan perairan wilayah Negeri Kelantan dan dengan budi bicara Kerajaan Persekutuan, sebahagian daripada hasil tersebut turut dapat dinikmati oleh rakyat walaupun di sisi perundangan dan kontrak Negeri Kelantan tidak layak dan/atau berhak kepadanya.

Apakah cadangan pindaan yang diusulkan oleh Ketua Pembangkang dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144)?

Ketua Pembangkang (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) pada 30 November 2009 telah mengemukakan cadangan agar peruntukan Seksyen 10 Akta Kemajuan Petroleum 1974 dipinda dengan memotong tanda noktah pada penghujung seksyen tersebut dan memasukkan perkataan-perkataan yang berikut:

— “…dan perkataan “di luar pantai” bermaksud sebahagian kawasan di tengah laut terbuka di luar pesisir pantai yang berada di dalam had Zon Ekonomi Eksklusif bagi Persekutuan dan diukur menurut undang-undang yang diterima pakai oleh Persekutuan pada masa berkaitan.”

Berdasarkan cadangan pindaannya, nyatalah Ketua Pembangkang menyedari bahawa Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Negeri-negeri lain tidak mempunyai hak ke atas hasil petroleum yang dijumpai dan diperolehi di luar 3 batu nautika perairan wilayah negeri-negeri.

Diterbitkan oleh:

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Malaysia

Ulasan