Guna Semua Teknologi Komunikasi Moden, Web, Facebook Bantah Keganasan Israel

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Datin Paduka Seri Rosmah Mansor hari ini menyeru semua media massa, dan mengajak seluruh rakyat Malaysia, termasuk remaja dan belia serta warga global untuk menggunakan semua teknologi komunikasi moden merangkumi laman web, blog, Facebook dan twitter, bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman Rejim Israel di Palestin.
Beliau berkata, usaha-usaha rakyat Malaysia dan dunia telah berjaya menarik perhatian dunia kepada jalan menangani keadaan dan kesengsaraan rakyat Palestin.
Isteri Perdana Menteri itu juga mengajak semua pihak menggunakan teknologi komunikasi moden bagi memberitahu sesiapa sahaja yang mereka kenali di seluruh negara dan negara lain, termasuk di Palestin dan Israel, mengenai keganasan Israel di Gaza mahu pun Tebing Barat di Palestin.
“Media seluruh dunia, elektronik dan cetak, mesti memainkan peranan yang aktif secara berterusan memaparkan dan mendedahkan keganasan yang dilakukan terhadap penduduk Palestin.
“Kita mesti menggunakan semua teknologi komunikasi moden yang ada untuk meluahkan bantahan dan memberitahu penduduk seluruh dunia, termasuk di Palestin dan Israel, supaya bangkit dan bergerak sama menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
“Kita mesti teruskan momentum dan pastikan isu semasa ini tidak dilupai dan luput di dalam kitaran berita akan datang. Kemanusiaan tidak boleh dibiarkan lenyap, dan di Palestin adalah isu kemanusiaan,” katanya ketika membentangkan tujuh cadangan penyelesaian pada Persidangan Khas Antarabangsa “Menamatkan Sekatan: Semangat Rachel Corri dan Mavi Marmara” di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Seterusnya, Datin Paduka Seri Rosmah berkata, warga dunia mestilah terus menyokong pelbagai usaha mensepadukan insiatif oleh banyak pihak terlibat di dalam konflik dan saluran-saluran lain, yang biasanya disokong negara kuasa-kuasa besar.
“Walaupun insiatif-inisiatif ini biasanya gagal mencapai matlamat yang diharapkan, kita mesti terus melakukan usaha yang membina ke arah keamanan dan penamatan sepenuhnya sekatan itu.
“Di dalam hal ini, Perdana Menteri kita telah menulis kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meminta sidang tergempar bagi membahaskan isu-isu berkenaan… Saya sangat-sangat sedar bahawa usaha-usaha kita mungkin tidak mengubah sebarang perkara. Namun, kita boleh lega dan dan berbangga bahawa usaha-usaha kita telah berjaya menyedarkan dunia bagi menangani keadaan dan kesengsaraan rakyat Palestin ,” katanya. -MediaUMNO

Ulasan