RMK10- Mewujudkan Persekitaran Untuk Menjayakan Pertumbuhan Ekonomi


Ekonomi Malaysia telah pulih dengan kukuh selepas krisis kewangan dan ekonomi baru-baru ini. Namun, mengekalkan kadar pertumbuhan 6% untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 memerlukan Malaysia menangani beberapa cabaran struktural: meningkatkan produktiviti dan pelaburan, mengemudi persekitaran ekonomi global yang lebih mencabar dan menangani tekanan persaingan yang meningkat.

Dalam hubungan ini, Kerajaan akan menyesuaikan pendekatan ekonomi dalam tempoh RMKe-10 menggunakan empat tema: memacu daya saing dalaman untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global, menggerakkan pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti dan inovasi, perhubungan secara global dan memberi lebih tumpuan kepada jentera pertumbuhan utama.

Bagi memacu daya saing dalaman dan mengukuhkan kedudukan persaingan global, Kerajaan akan menjadikan Malaysia salah satu persekitaran yang mesra perniagaan di Asia dengan program liberalisasi yang signifikan dan dengan memperkasa MPC untuk mengenal pasti bidang utama bagi menambah baik produktiviti.

Ini akan membantu syarikat tempatan berkembang serta mengukuhkan keupayaan negara untuk menarik dan mengekalkan modal serta bakat.

Bagi menggerakkan pertumbuhan didorong produktiviti dan inovasi, Kerajaan akan mewujud persekitaran yang menyokong inovasi merentasi ekonomi dengan memastikan persekitaran perniagaan tersebut menyediakan insentif untuk menginovasi serta memberi isyarat harga yang sebenar.

Tumpuan khusus akan diberi untuk mengurangkan halangan pertumbuhan dan inovasi seperti yang dihadapi oleh EKS dengan memudahkan beberapa keperluan peraturan.

Malaysia juga akan komited untuk meneruskan pelaburan dalam bidang sains dan teknologi, inovasi serta modal insan. Bagi perhubungan global, Kerajaan akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dalam rantau ASEAN, China, India dan juga AS, Eropah serta GCC.

Kerajaan akan menyokong syarikat Malaysia bersaing dalam pasaran global. Tindakan juga akan diambil untuk menambah baik keupayaan Malaysia bagi menarik pelaburan dan bakat asing ke Malaysia dengan memperkukuh MIDA dan menubuhkan Talent Corporation.

Bagi memastikan lebih tumpuan diberi kepada jentera pertumbuhan utama, Kerajaan akan memastikan keutamaan dasar menumpu kepada NKEA. Tumpuan lebih kukuh juga akan diberi kepada beberapa kluster ekonomi bagi memperoleh faedah produktiviti yang dihasilkan dalam penumpuan aktiviti ekonomi.



Bab 3

Ulasan