RMK10- Menuju Ke Arah Pembangunan Sosioekonomi Secara Inklusif



Dalam tempoh Rancangan, pendekatan inklusif akan terus dilaksana dengan menyediakan akses kepada peluang secara saksama untuk semua rakyat. Program bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah 40% terendah dan menjamin kumpulan yang mudah terjejas akan diberi penekanan.

Ini akan dilaksana dengan meningkatkan keupayaan untuk menjana pendapatan melalui peningkatan kemahiran, menghubungkan mereka dengan majikan yang berpotensi serta meningkatkan keupayaan keusahawanan.

Pada masa yang sama, jaringan keselamatan sosial akan diperkemas untuk melindungi golongan yang mudah terjejas. Di samping itu, penyertaan yang seimbang dalam ekonomi akan terus diusahakan.

Pada masa lalu penekanan diberi kepada usaha mencapai 30% pemilikan ekuiti korporat Bumiputera melalui instrumen yang berbentuk peruntukan.

Menuju ke hadapan, tumpuan akan diberikan ke arah mencapai penyertaan seimbang dalam pekerjaan berpendapatan tinggi, memperkukuhkan keusahawanan dalam aktiviti nilai ditambah tinggi, dan membolehkan pengumpulan kekayaan merentasi kategori aset yang lebih meluas.

Penekanan baru terhadap pembangunan keupayaan dan penyertaan ekonomi yang tulen membolehkan agenda pendekatan secara inklusif dilaksanakan dalam konteks ekonomi yang berkembang.

Prinsip mesra pasaran, berdasarkan keperluan, berasaskan merit dan ketelusan akan diterapkan dalam reka bentuk dan pelaksanaan program bagi memastikan pendekatan inklusif adalah selaras dengan objektif pertumbuhan.



Bab 4 - Rancangan Malaysia Ke-10

Ulasan