RMK10- MENTRANSFORMASIKAN KERAJAAN KE ARAH MENTRANSFORMASIKAN MALAYSIA



Sektor awam perlu ditransformasikan bagi bertindak balas secara berkesan kepada persekitaran global yang pesat berubah. Empat prinsip utama yang menjadi asas kepada transformasi ini adalah budaya kreativiti dan inovasi, kepantasan membuat keputusan dan bertindak, nilai untuk wang serta integriti.

Memandangkan cabaran dan peluang akan melangkaui sempadan tradisi, pendekatan keseluruhan kerajaan akan diguna pakai yang melibatkan kerjasama antara agensi serta kerjasama merentasi peringkat persekutuan, negeri dan tempatan sebagai sebuah kerajaan bersepadu, bagi memastikan isu bersilang agensi dapat ditangani.

Reformasi sektor awam akan berorientasi pelanggan dengan sistem penyampaian dan hubungan ditambah baik dan tertumpu kepada rakyat dan perniagaan. Bagi membolehkan kepantasan dalam membuat keputusan dan bertindak, lebih banyak penurunan kuasa akan diberi kepada agensi terpilih selaras dengan peningkatan akauntabiliti dan kemampuan.

Lebih autonomi akan diberi kepada agensi pengendali seperti universiti dan hospital supaya menjadi lebih responsif kepada pelanggan.

Bagi meningkatkan penyampaian, mekanisme persaingan dan pasaran akan terus diperkenal seperti penarafan balai polis dan sekolah serta pembiayaan berasaskan permintaan bagi universiti dan institut latihan.

Pendekatan berasaskan outcome akan diguna pakai bagi perancangan, pengagihan sumber, pemantauan dan penilaian kemajuan. Tumpuan kepada outcome akan membolehkan pengurusan sumber yang lebih efektif dan seterusnya memberikan nilai untuk wang yang lebih tinggi dari segi perbelanjaan awam.

Bagi memastikan akauntabiliti, KPI bagi mengukur outcome akan dikait kepada individu dan dipantau secara berkala. Kerajaan juga akan menumpu kepada usaha memperbaiki kedudukan fiskal negara dalam tempoh Rancangan, dengan memperluas asas cukai melalui kutipan yang lebih efektif, mencapai peningkatan produktiviti melalui infrastruktur bersepadu dan memperkenal perkongsian
perkhidmatan serta meningkat kecekapan dalam perolehan dan pengurusan ICT.

Kerajaan akan memberi tumpuan kepada peranan sebagai pemudah cara dalam menyediakan persekitaran yang sesuai untuk sektor swasta melalui dasar dan peraturan yang efektif. Selaras dengan ini, penyertaan sektor swasta melalui penyumberan luar, PPP dan penswastaan akan dipertingkat dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Di samping itu, terdapat juga peralihan dalam perbelanjaan sektor awam daripada infrastruktur fizikal kepada bukan fizikal terutamanya dalam program peningkatan kemahiran, R&D, pembiayaan modal teroka dan pemboleh inovasi yang lain.

Kerajaan juga akan terus beralih daripada pembinaan infrastruktur fizikal dan pengoperasian perkhidmatan awam kepada perolehan perkhidmatan daripada sektor swasta. Struktur baru Kerajaan akan memerlukan sesetengah organisasi sedia ada dirasionalisasi terutamanya yang mempunyai fungsi bertindih atau berulang.

Organisasi yang memfokus kepada keutamaan nasional akan diperkukuh dan sumber manusia dalam perkhidmatan awam akan terus dibangun. Pelaksanaan usaha ini akan menyumbang kepada menjadikan aspirasi Kerajaan yang berinovatif, pantas, berhemat dan berintegriti, suatu kenyataan


Bab 7 - Rancangan Malaysia Ke-10

Ulasan