RMK10-Membangun Berasaskan kekuatan negara



Momentum pertumbuhan ekonomi yang perlahan dalam tempoh RMKe-9, menunjukkan bahawa punca pertumbuhan pada masa lalu tidak boleh lagi menjadi peneraju utama kepada pertumbuhan yang tinggi. Trajektori pertumbuhan yang perlahan ini, ditambah pula dengan persekitaran luar yang mencabar dan tidak menentu, bermakna pertumbuhan ekonomi akan berada di bawah tren pertumbuhan jangka panjang sekiranya tiada perubahan serius dilaksanakan untuk mentransformasikan ekonomi. Dengan itu, Malaysia perlu meningkatkan daya saing dan produktiviti ekonomi dalam negeri.

Sektor perkhidmatan dijangka kekal menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan, dipacu terutamanya oleh pengembangan dalam subsektor kewangan dan perkhidmatan perniagaan, perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran serta pengangkutan dan komunikasi.Sektor pembuatan dijangka mengalami pertumbuhan pesat disumbang terutamanya oleh nilai ditambah yang lebih tinggi dalam subsektor E&E. Sektor pembinaan, pertanian dan perlombongan juga dijangka mencapai pertumbuhan positif dalam tempoh Rancangan.

Kerajaan akan memperkenalkan two-year rolling plan bagi memberi ruang yang lebih fleksibel dalam
membuat penyelarasan perbelanjaan, terutamanya apabila terdapat keperluan untuk bertindak balas
kepada perubahan persekitaran ekonomi gobal. Sejumlah RM91 bilion akan diperuntukkan bagi
perbelanjaan pembangunan di bawah rolling plan pertama untuk tempoh 2011-2012.

Ketika Malaysia menghadapi cabaran besar untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, negara dapat dibangunkan berdasarkan kekuatan yang dimiliki daripada segi asas sumber, infrastruktur yang baik dan ketekunan tenaga kerja dalam memacu negara ke hadapan. Sehubungan itu, RMKe-10 menyediakan rangka kerja dasar dan strategi bagi mencapai status sebuah negara maju menjelang 2020. Seperti ditunjukkan dalam Carta 2-13, Rancangan ini juga dilakar berkonsepkan 1Malaysia dan dibina berasaskan GTP dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang menggariskan dasar dan strategi baru.

Konsep 1Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan perpaduan negara yang penting bagi mengekalkan kestabilan sosial dan politik - satu prasyarat untuk Malaysia kekal sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan yang menarik. Amalan menghormati perbezaan nilai pelbagai masyarakat akan membantu rakyat menghargai perbezaan tersebut sebagai aset. Konsep ini mengharapkan rakyat Malaysia bergerak melangkaui toleransi untuk menerima dan akhirnya berbangga dengan kepelbagaian etnik, agama, budaya dan kepercayaan. Prinsip keadilan akan menjadi teras kepada konsep ini. Di bawah konsep ini, semua rakyat Malaysia akan diberi perhatian dengan tumpuan khusus kepada golongan kurang mendapat manfaat.

GTP diperkenal pada tahun 2010 untuk mentransformasikan Kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam sistem penyampaian perkhidmatannya serta bertanggungjawab ke atas outcome. MBE telah menggariskan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) dalam memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif. RMKe-10 telah mengambil kira kebanyakan
strategi baru pertumbuhan ekonomi di bawah MBE dan IPS yang berkaitan. RMKe-10 juga menggabungkan enam NKRA dan mengemas kini kemajuan pelaksanaan sistem penyampaian kerajaan sejak GTP dilancarkan.



Bab 2

Ulasan