RMK-10 Mewujudkan Persekitaran Ke Arah Meningkatkan Kualiti Hidup


Kepentingan untuk melonjakkan kualiti hidup rakyat menjadi intipati dalam setiap strategi pembangunan negara. Bagi Malaysia, ini bermakna pelaburan yang berterusan diperlukan dalam infrastruktur fizikal di samping memastikan produktiviti dan kecekapan dicapai bagi setiap
bidang. Pendekatan yang baru diperlukan selaras dengan persekitaran yang sentiasa berubah. Menyedari hakikat ini, Malaysia akan melaksanakan penstrukturan secara sistematik dalam pelaburan serta penyediaan perkhidmatan penting termasuk:

Penstrukturan semula kerangka kerja perlesenan dan operasi pengangkutan awam yang akan diterajui oleh SPAD disokong oleh pelaburan besar dalam sistem pengangkutan awam seperti pengenalan sistem transit berkapasiti tinggi di Greater KL;

Dasar perumahan akan mengalami anjakan besar dengan penubuhan Tabung Penyenggaraan Perumahan yang memberi penekanan baru ke atas keseluruhan kitaran hayat dalam penyediaan perumahan meliputi pembinaan sehingga penyenggaraan;

Transformasi sektor penjagaan kesihatan bagi mengurangkan jurang di antara sistem yang disediakan oleh pihak awam dengan swasta dengan memberi tumpuan kepada sistem penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan;

Usaha berterusan bagi meningkatkan kecekapan operasi industri perkhidmatan air dan mewujudkan asas kewangan yang mampan bagi memastikan pelaburan yang berterusan dalam sektor ini;

Memuktamad pengambilalihan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi usaha memodenkan proses kutipan, pengendalian dan pelupusan sisa pepejal serta penjagaan ruangan bersama; dan

Mempergiat usaha membanteras dan mencegah jenayah dengan memperkemas keseluruhan sistem keadilan jenayah melalui kekerapan kehadiran polis dan menambah-baik usaha penguatkuasaan

RMKe-10 juga menanda perubahan besar dalam strategi pertumbuhan secara spatial. Kerajaan akan melaksana pendekatan pertumbuhan secara berfokus, menerima pakai strategi bagi membina kepadatan, membangunkan kluster dan pengkhususan dalam sektor bernilai tinggi bagi mengambil peluang daripada pulangan berskala besar di bandar.

Bagi menjadikannya sebagai pemacu pertumbuhan, bandar yang berdaya maju dan menarik akan menjadi tumpuan utama.

Ini dapat dicapai melalui pembaharuan penekanan untuk mewujudkan ruang awam yang menarik di samping memupuk aktiviti kesenian, kebudayaan dan riadah untuk menyokong peningkatan
penduduk kosmopolitan.

Pertumbuhan yang padat akan diurus melalui dasar kawalan pertumbuhan dan disokong menerusi infrastruktur bertaraf dunia.

Setiap bandar di Malaysia adalah unik dengan ciri dan kelebihan yang tersendiri dan akan mempunyai strategi yang dirangka khusus berdasarkan keunikan warisan, komposisi dan potensi bagi pertumbuhan.

Setiap warga Malaysia bertanggungjawab memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang. Dalam dunia yang berhadapan dengan kesan perubahan iklim dan peningkatan tekanan ke atas alam sekitar, dua cabaran yang perlu dihadapi oleh Kerajaan ialah mengurus khazanah alam sekitar secara berhemat di samping menyerlahkan potensi sumber ekonomi secara mampan.

Ini bermakna dasar dan mekanisme perlu diwujud untuk memastikan penilaian yang teratur ke atas sumber alam sekitar dari segi penilaian kos melepas dan implikasi pelaburan awam dan swasta ke atas alam sekitar.

Secara keseluruhan, dasar, strategi dan program yang akan dilaksana dalam tempoh Rancangan bukan hanya akan menyumbang ke arah penilaian yang tepat ke atas khazanah alam sekitar negara tetapi juga akan menjamin kemampanan kualiti hidup rakyat Malaysia.


Bab 6 - Rancangan Malaysia Ke-10

Ulasan