RMK-10 Membangun Dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia



Pembangunan modal insan merupakan elemen asas dan kritikal dalam mentransformasikan ekonomi Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi. Untuk mencapai daya saing yang tinggi diperingkat global dan ekonomi berasaskan inovasi, pendekatan yang sistematik dan menyeluruh untuk membangun, menarik dan mengekalkan modal insan berkepakaran
tinggi negara diperlukan.

Malaysia perlu merapatkan jurang untuk mencapai modal insan berkepakaran bertaraf dunia. Kerajaan akan melaksanakan perubahan menyeluruh di setiap tahap pembangunan modal insan sepanjang kitaran hayat, iaitu daripada menambah baik pendidikan awal kanak - kanak sehingga peningkatan kemahiran tenaga kerja sedia ada.

Pembangunan dan pengukuhan kualiti guru akan diberi tumpuan untuk meningkatkan pencapaian pelajar. Sekolah dan pengetua akan dipertanggungjawab terhadap pencapaian pelajar serta diberi lebih bantuan dan autonomi sewajarnya. Dalam tempoh Rancangan, lebih penekanan akan diberi
kepada latihan kemahiran bagi memastikan negara dapat membentuk modal insan yang memenuhi keperluan industri, meningkatkan produktiviti dan rantaian nilai ekonomi yang lebih tinggi. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan diarusperdanakan, dan pendidikan tertiari akan dinaik taraf dengan ketara melalui pemberian autonomi yang lebih besar dan pengurusan berprestasi tinggi dengan matlamat ke arah meningkatkan kebolehpasaran siswazah dan mobiliti kerja.

Dalam tempoh Rancangan, sumber akan ditumpukan kepada usaha untuk membangun serta mengekalkan modal insan terbaik bertaraf dunia. TC akan ditubuhkan dengan mandat utama untuk mengenal pasti dan membekal modal insan berkepakaran tinggi yang amat diperlukan oleh sektor ekonomi utama bagi memastikan aspirasi negara tercapai.

Pada masa yang sama, usaha yang lebih gigih diambil untuk memastikan akses yang saksama kepada peluang meningkatkan kemahiran dan menyokong golongan yang amat memerlukan. Sehubungan ini, inisiatif latihan kemahiran akan ditumpukan kepada isi rumah 40% terendah serta program penambahbaikan sekolah dan inisiatif LINUS dilaksana bagi merapatkan jurang pencapaian bagi pelajar yang ketinggalan dalam pembelajaran dan meningkatkan pencapaian sekolah berprestasi rendah. Langkah ini akan memastikan setiap pelajar di Malaysia boleh berjaya.



Bab 5 - Rancangan Malaysia Ke-10

Ulasan