Perjudian Bola Haram Di Pulau Pinang. Gagal Mentarbiyah Rakyat ?

BUTTERWORTH, 16 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun, yang disyaki menjadi bookie menguruskan pertaruhan haram bagi kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010, di sebuah kedai makan di Jalan Raja Uda di sini, Selasa semalam.

"Ketika ditahan, suspek dipercayai mengendalikan pertaruhan secara online bagi beberapa perlawanan yang berlangsung semalam," kata Ketua Operasi Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap D7 Bukit Aman Supt Maszely Minhat kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata suspek ditahan yang dipercayai pekerja premis itu, ditahan di kaunter bayaran pada 1.15 pagi dan polis merampas wang tunai berjumlah RM15,675.00 dipercayai wang pertaruhan, sebuah komputer riba yang mempunyai sistem pertaruhan, beberapa resit kosong serta empat bateri komputer.

Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM200,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 15 Jun lalu, polis menahan empat bookie dan dua lelaki dipercayai perantara, di sebuah kedai kopi ketika mereka sedang leka mencatat dan menerima pertaruhan.




Polis Pulau Pinang Tahan Tiga Lagi Suspek Judi Haram Piala Dunia


PULAU PINANG, 16 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam sindiket pertaruhan haram bola sepak Piala Dunia 2010 di negeri itu dalam dua serbuan pada Selasa.

Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata kesemua mereka ditahan hasil maklumat awam dan intipan Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Pulau Pinang dan Bukit Aman.

"Dalam serbuan pada pukul 2.50 pagi Selasa di sebuah kediaman di Seberang Jaya dekat sini, polis menahan dua lelaki berusia 28 dan 35 tahun yang disyaki menjadi bookie.

"Ketika serbuan kedua-duanya sedang mengambil pertaruhan dianggar melebihi RM15,000 bagi setiap perlawanan," katanya pada sidang media, di sini pada Rabu.

Selain wang tunai berjumlah RM5,625, polis turut merampas pelbagai peralatan seperti komputer riba, telefon bimbit dan kertas catitan.

Ayub berkata siasatan awal juga mendapati sindiket itu menawarkan pinjaman wang secara haram kepada orang ramai dan dipercayai telah meminjamkan wang kepada 30 peminjam dengan jumlah sekitar RM100,000.

"Dalam serbuan berasingan pada pukul 7.20 petang Selasa di Taman Sejahtera, kita menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang sedang membuat pertaruhan dalam talian dan merampas pelbagai peralatan yang digunakan," katanya.

Antara yang dirampas ialah 44 helai kertas catitan, telefon bimbit dan beberapa jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Beliau berkata jumlah pertaruhan yang diterima lelaki itu dipercayai mencecah ribuan ringgit dan telah aktif sejak Piala Dunia 2010 berlangsung.

"Ketiga-tiga mereka kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM200,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Penahanan terbaru tersebut menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang ditangkap di negeri itu kerana menerima pertaruhan haram Piala Dunia 2010 meningkat kepada sembilan orang sejak Jumaat lepas.

-- BERNAMA

Ulasan