MT Sebulat Suara Tolak Lesen Judi Sukan


KUALA LUMPUR, 25 Jun – Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini sebulat suara sokong keputusan Kerajaan tidak mengeluarkan lesen perjudian sukan dengan pertimbangan khususnya dari segi agama dan politik.

“Kerajaan mengambil keputusan lesen tersebut tidak akan dikeluarkan dan disokong penuh oleh MT di dalam perbahasan dan perbincangan pada malam ini. Ahli MT masing-masing telah mengambilkira pandangan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Menjawab satu soalan, Perdana Menteri berkata, keputusan itu bukanlah berdasarkan pertimbangan ekonomi atau sosial, tetapi ia adalah keputusan dari segi agama dan politik.

Datuk Seri Najib menjelaskan, lesen pertaruhan suka Ascort Sports Sdn Bhd telah bermula pada 1989, tetapi syarikat itu telah menyerahkan lesen itu kepada Kerajaan pada 1990 kerana kerugian besar.

Sejak itu, syarikat beberapa kali memohon untuk memperbaharui lesen dan baru-baru ini kelulusan secara dasar dengan syarat-syarat tertentu yang perlu mereka penuhi diberikan.

“Kerajaan juga ingin mendapatkan pandangan umum sebelum lesen dikeluarkan kerana masyarakat berbilang kaum mempunyai pandangan mereka sendiri di dalam melihat pemberian lesen dari segi agama, ekonomi dan sosial.

“Walaupun niat Kerajaan untuk mengurangkan aktiviti haram dan pertaruhan sukan haram ini ditaksirkan begitu besar, ada yang kata lebih RM10 bilion dan ekonomi haram ini melibatkan kegiatan jenayah lain dan beri kesan kadar jenayah dan ancaman sosial kepada negara.

“Kerajaan juga mengambil keputusan tegas tiada orang Islam terlibat di dalam membeli, bekerja atau menganggotai lembaga pengarah syarikat di dalam syarikat berkenaan. Syarat-syarat ini dikenakana dengan tegas oleh Kerajaan,” katanya.

Datuk Seri Najib berkata, “sejak persetujuan dasar dan tinjauan yang dilaksanakan, walau pun ada yang menyokong dan ada yang menolak atau membantahnya, setelah mengambilira semua pandangan itu, jelas sekali sebilangan besar masyarakat tidak bersetuju.”

-MediaUMNO

Ulasan