Chua Jui Meng, Sharifah Mazlina antara 4 ditarik gelaran

2010/06/11

JOHOR BAHRU: Jumaah Majlis Diraja Johor sebentar tadi mengesahkan penarikan balik darjah kebesaran terhadap bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Jui Menang dan tiga lagi yang membawa gelaran Datuk.

Tiga lagi ialah wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, dan dua individu lain, Komander Shaftdean Lufty Rusland dan Hassan Yunos.

Shaftdean Lutfy adalah suami kepada Tunku Muna Najiah Sultan Iskandar manakala Hassan seorang peguam.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata kuasa Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail untuk menganugerahkan atau menarik balik darjah kebesaran adalah "melampaui politik."

"Tidak wujud keadaan yang dikatakan sebagai tekanan politik untuk menganugerahkan atau menarik balik darjah kebesaran itu. Sultan Johor tidak mempunyai kaitan dengan politik. Ahli politik tidak mempunyai hak dalam perkara ini," kata beliau pada sidang media di Istana Besar, hari ini.
Sultan Johor katanya, berkuasa penuh terhadap perkara itu di bawah Fasal 12 Undang-undang dan Peraturan bagi Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia dan Fasal 7(f) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895.

Ditanya mengenai sebab disebalik langkah penarikan balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Chua itu, Abdul Rahim berkata, Sultan Johor tidak perlu memberikan sebab kerana itu adalah kuasa baginda.

Ahli Majlis Tertinggi PKR dimaklum istana minta pulangkan dua darjah kebesaran negeri

JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Chua Jui Meng, semalam mengesahkan bahawa Istana Johor telah menarik balik dua darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepadanya.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh pegawai Istana Johor mengenai langkah penarikan balik dua darjah kebesaran itu menerusi dua panggilan telefon pada Selasa dan semalam.
"Saya terima panggilan telefon daripada Datuk Abdul Rahim Ramli (Setiausaha Majlis Jumaah Diraja Johor) dua hari lalu mengenai penarikan balik darjah itu dan (panggilan telefon) hari ini (semalam) beliau meminta saya datang ke Johor Bahru untuk memulangkannya," katanya kepada BERNAMA, semalam.

Bagaimanapun, Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan mulai 1995 hingga 2004 dan bekas Naib Presiden MCA berkata, beliau tidak dapat pergi ke Johor Bahru semalam kerana terpaksa berada di Langkawi bagi satu majlis politik.

Ketika dihubungi di Alor Setar, Chua berkata sehingga kini beliau belum lagi menerima surat rasmi daripada Istana Johor mengenai langkah penarikan balik darjah kebesaran terhadapnya.

Chua dianugerahkan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Johor dan Seri Paduka Mahkota Johor, yang kedua-duanya membawa gela ran Datuk, oleh Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar.
Beliau berkata tiada alasan diberikan di sebalik penarikan balik darjah kebesaran itu.

"Datuk Rahim hanya berkata bahawa Sultan Johor mempunyai hak untuk menarik balik darjah kebesaran itu tanpa sebarang sebab dan saya menghormati hak itu," katanya. – BERNAMA