Mufti Syor ‘Kaum’ Ganti ‘Agama’

Mufti Syor ‘Kaum’ Ganti ‘Agama’

 Apr 15th, 2010 | By Isa Nikmat | Category: Berita Pilihan
PUTRAJAYA, 14 April -Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan sepakat mencadangkan kerajaan menggugurkan perkataan ‘agama’ yang digunakan Jawatan Kuasa Perhubungan Antara Agama, sebaliknya ditukar dengan ‘kaum’ bagi mengelakkan kekeliruan, terutama di kalangan umat Islam.
Cadangan itu dikemukakan pada sesi taklimat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mengenai penubuhan jawatan kuasa itu yang mendapat bantahan mufti dan beberapa pertubuhan Islam.
Jamil Khir berkata, cadangan itu dikemukakan kerana mufti berpendapat hal berkaitan agama Islam terletak dalam tanggungjawab Majlis Raja-Raja serta tidak boleh dibincangkan dan perkara itu jelas termaktub dalam Perlembagaan.
Pada sidang media selepas taklimat itu, Jamil Khir berkata, beliau akan memaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, mengenai pandangan dan cadangan mufti berhubung isu itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan mengenai pertukaran perkataan ‘agama’ itu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Jawatankuasa itu yang ditubuhkan Kabinet pada Februari lalu dan diketuai bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak, bertanggungjawab mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama, termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat serta isu tanah perkuburan.
Dalam taklimatnya, Jamil Khir antara lain menjelaskan mengenai skop bidang kuasa jawatan kuasa berkenaan yang tidak mencampuri urusan agama Islam yang masih terletak di bawah ketua agama, iaitu Sultan setiap negeri.
Taklimat itu diadakan berikutan arahan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, bagi memberi penjelasan berhubung keputusan kerajaan menubuhkan jawatan kuasa itu.
Semua mufti hadir pada majlis taklimat itu, yang terdahulu menghadiri Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.
Jamil Khir berkata, semua mufti amat mengalu-alukan dialog dan perbincangan persefahaman bagi mengelakkan wujud kekeliruan orang ramai mengenai agama Islam.
Namun, katanya, perbincangan mengenai isu yang menyentuh agama Islam hendaklah menggunakan saluran sedia ada, seperti Panel Penasihat Perpaduan Negara bagi mengelak campur tangan pihak tertentu dalam hal ehwal agama Islam. -MediaUMNO
http://umno-online.com/?p=8471

Ulasan