Kisah Lama :Balai Polis Batu Pahat sasaran amuk 15 lelaki >16 Oktober 1980

Kumpulan lelaki berjubah putih bersenjatakan pedang melibas 23 orang termasuk 14 anggota polis
Oleh Nasron Sira Rahim
Berita Harian

SUASANA damai di perkarangan Balai Polis Batu Pahat, Johor, pada pagi 16 Oktober 1980, tiba-tiba saja bertukar cemas dan kecoh!

Darah kelihatan mengalir membasahi ruang balai dan jeritan kesakitan memenuhi ruang udara kawasan berkenaan sehingga menggemparkan setiap penghuni di lokasi itu.

Sekumpulan 15 lelaki yang tiba-tiba saja memasuki balai itu kira-kira jam 9.30 pagi masih tidak menghiraukan keadaan mangsa yang perit menahan luka membisa sebaliknya mereka terus menghayunkan pedang dan pisau bagaikan orang kerasukan.

Sebaik Teksi Mercedes Benz yang dirampas sembilan daripada ahli kumpulan itu berhenti di depan balai polis, mereka terus keluar dan seorang demi seorang penghuni termasuk anggota polis yang terpinga-pinga melihat kehadiran kumpulan berkenaan, dilibas sehingga darah terpercik ke merata arah.

Lima minit kemudian, sebuah lagi kereta Mazda 808 yang turut dirampas, masuk mengikut pintu belakang balai dan enam lagi ahli kumpulan itu turun dan menyertai amukan.

Dengan pakaian menutup sebahagian kepala, kasut getah, pedang yang semuanya berwarna putih termasuk sarung pedang bersalut kain putih dan bertulis ayat dua kalimah syahadah, mereka terus menggila.

긂llahhuakbar!� Sambil melakukan kemungkaran yang ditegah Tuhan, kumpulan lelaki berjubah itu masih berani mempermain-mainkan agama dengan bertakbir kuat meningkah jeritan kesakitan mangsa kekejaman mereka.

Mata mereka meliar mencari mangsa seterusnya, tidak kira lagi sama ada mangsa seterusnya anggota polis ataupun wanita mengandung. Mereka terus menggamuk.

Dalam kekecohan amukan sekumpulan 15 pengikut ajaran sesat itu, 23 orang termasuk 14 anggota polis cedera dan parah. Seorang wanita sarat mengandung, enam kakitangan awam balai polis itu, seorang budak pejabat dan dua orang awam yang membuat laporan di situ antara mangsa. Seorang anggota polis ditetak dengan pedang di bahagian kepala, lengan dan jari.
Ramai mangsa di sekeliling sudah dicederakan tetapi mereka bagaikan enggan berhenti dan kehausan darah.

Bagaimanapun ketika mereka ingin bertindak lebih ganas, dentuman tembakan bertubi-tubi dilepaskan anggota polis yang menyedari serangan itu.

Enam ahli kumpulan itu tumbang serta merta. Melihatkan rakan mereka mati, anggota lain kumpulan itu bertempiaran melarikan diri.

Kematian rakan mereka di hadapan mata masih belum membenihkan rasa gerun di jiwa malah kumpulan itu berhenti pula di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dan Mahkamah Rendah yang terletak berhampiran.

Di situ, mereka seperti dirasuk terus bertakbir kuat menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut. Tetapi mujur tiada yang menjadi mangsa.

Mereka kemudian melarikan diri menggunakan teksi untuk mencari perlindungan dan tiba di Parit Jorak Darat, kira-kira 10 kilometer dari Batu Pahat, sekitar jam 11 pagi.

Seorang penduduk di kawasan itu terkejut besar apabila melihat dari dalam teksi yang berhenti di luar rumahnya, keluar empat lelaki berjubah putih dengan keadaan tiga daripada mereka yang berlumuran darah di tangan, muka serta jubah dipercayai cedera akibat tembakan senjata api.

Penduduk berkenaan mengenali dua daripada mereka, seorang adalah saudaranya, manakala seorang lagi tinggal di Seri Medan.

Dia kemudian segera keluar dan membantu mereka yang cedera masuk ke rumah, mungkin kerana menyangka yang kumpulan empat lelaki tadi adalah mangsa. Penduduk itu tidak cuba bertanya mereka mengenai kejadian sebenar yang berlaku dan semua anggota kumpulan itu juga tidak bercakap walau sepatah perkataan.

Seorang daripada anggota kumpulan itu kemudian keluar dan memandu teksi yang mereka naiki dan tidak kembali lagi ke rumah penduduk kampung itu.

Penduduk berkenaan mula merasa syak bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan kumpulan yang dibantunya; lalu secara senyap-senyap dia menyuruh ahli keluarganya keluar dari rumah berkenaan.

Kemudian dia pula menyelinap keluar dan pergi ke Tongkang Pecah untuk berjumpa seorang rakannya. Di situ, dia mengetahui kejadian serangan di Balai Polis Batu Pahat, sekali gus menyebabkan dia mengesyaki ia angkara lelaki yang baru berlindung di rumahnya.

Dia segera berkejar ke Balai Polis Tongkang Pecah dan menceritakan segalanya. Pasukan polis yang melancarkan gerakan besar-besaran mengesan saki baki anggota kumpulan itu, segera menghantar sepasukan anggota polis ke Parit Jorak Darat, kira-kira jam 1.15 petang.



Rumah penduduk kampung itu segera dikepung dan selepas tidak mempedulikan arahan polis supaya menyerah diri, serbuan dilakukan. Dua ahli kumpulan itu akhirnya terbunuh. Polis terus memburu dan menahan semua saki baki ahli kumpulan itu tidak jauh dari situ.

Hasil pemeriksaan terhadap mayat ahli kumpulan itu yang berusia antara 21 hingga 60 tahun menjumpai sejadah, bendera putih mengandungi ayat dua kalimah syahadah dan perkataan Muhammad, Mahadi dan Isa dalam huruf jawi berwarna hijau dan putih.

[img]http://www.bharian.com.my/m/BHarian/BHimages/BMinggu/1jej11c.jpg[/img]


Tragedi hitam berpunca ajaran sesat

SERANGAN di Balai Polis Batu Pahat pada pada 16 Oktober 1980 itu mencatatkan satu tragedi hitam kepada sejarah keamanan negara ini.

Lantaran fahaman songsang, kumpulan 15 lelaki itu melakukan tindakan `gila' kerana berani mengamuk dengan menyerang dan cuba membunuh di dalam balai polis.

Polis yang menjadi pihak pembenteras jenayah dan memiliki kelengkapan senjata api tidak mereka takuti malah mereka cuma menyerang menggunakan senjata tajam.

Seramai 23 insan yang tidak bersalah cedera akibat ajaran sesat yang menjadi titik mula kepada tragedi hitam berkenaan.

Semua penyerang itu percaya dengan tindakan nekad mereka menyerang balai polis itu, mereka kononnya akan mendapat jalan pintas untuk ke syurga.

Fahaman songsang mereka untuk ke `syurga' itu mensyaratkan bahawa semua orang kafir di negara ini perlu dihapuskan dan langkah permulaan tindakan mereka adalah dengan menyerang balai polis berkenaan.

Perancangan awal mereka adalah untuk memulakan `peperangan' lebih awal, iaitu pada 12 Oktober 1980 tetapi rancangan gila mereka itu terlebih dulu diketahui pihak berkuasa menyebabkan mereka terus menyembunyikan diri di puncak Bukit Payong, Batu Pahat.

Di situ, katanya mereka membina pondok yang digantung sesikat pisang pada dinding dan melakukan amalan seperti bertapa, beratip dan bertahlil dengan anggapan amalan berkenaan bertujuan menyediakan diri mereka bagi menghapuskan orang kafir.

Intipan pihak berkuasa pada mulanya mengesan seramai 20 orang menganggotai kumpulan sesat yang dipelopori dua lelaki pelarian Kemboja, Lamin dan ketua anggota kumpulan itu, Mohamed Nasir Ismail.

Bagaimanapun hanya 15 daripada mereka nekad menyerang balai polis berkenaan. Mungkin menyangka mereka kebal apabila hanya berani menentang polis yang bersenjatakan senjata api dengan pisau dan parang tetapi sebaik enam rakan mereka mati ditembak, mereka terus bertempiaran melarikan diri.

Agenda kumpulan itu tidak saja menghapuskan orang kafir di negara ini tetapi juga untuk menguasai kerajaan. Bermula dengan serangan di Balai Polis Batu Pahat, kumpulan itu merancang menawan Batu Pahat dan akhirnya seluruh negara.

Antara ciri ajaran sesat yang diamalkan kumpulan itu adalah Mohamed Nasir mengaku dirinya Imam Mahadi dan pembantunya, Lamim sebagai Nabi Isa; solat tidak perlu menghadap arah kiblat, solat Subuh tidak perlu baca surah al-Fatihah, tidak perlu solat Jumaat, solat tidak perlu berimam dan kain putih menggantikan tanah untuk bertayamum.

Ajaran sesat itu mula disebarkan pada pertengahan September 1980 oleh dua lelaki rakyat asing berkenaan.

Ulasan